Sayang Sahabat Sekalian Kerana Allah.

Tuesday, 14 May 2013

PENDEKATAN DALAM MENGAJAR MEMBACA


Holistik
Pendekatan dalam mengajar membaca dari segi holistik adalah menggabungkan keseluruhan kemahiran berbahasa iaitu mendengar, bertutur (kecuali mereka yang mempunyai kecacatan kekal pendengaran dan pertuturan), membaca, menulis dan berfikir. Setiap kemahiran seharusnya diajar secara serentak dan bukannya terpisah-pisah. Hal ini demikian kerana semua aspek kemahiran tersebut terbina secara bersepadu dan saling membantu antara satu sama lain.
     Penekanan terhadap aspek bacaan dilakukan pada peringkat awal persekolahan lagi. Kanak-kanak diajar huruf A hingga Z dengan cara membaca carta huruf dan kad imbas. Penekanan bacaan ini tertumpu kepada mengenal huruf semata-mata setelah itu kanak-kanak akan diajar menyebut huruf-huruf tersebut. Perkembangan pendidikan juga percaya bahawa kanak-kanak perlu diajar membaca terlebih dahulu kemudian barulah diajar menulis.
    Sekiranya seseorang murid lambat didedahkan dengan kemahiran membaca dan menulis secara bersepadu, hal ini akan menyebabkan proses menguasai kedua-dua kemahiran tersebut akan terbantut.
     Kanak-kanak bukan sahaja dilatih dengan menggunakan carta huruf dan kad imbas semata-mata, namun kaedah lain perlu dipelbagaikan bagi meningkatkan kemahiran membaca dan menulis. Mereka seharusnya disuakan dengan pelbagai jenis bahan bacaan yang diterbitkan dalam bentuk asal seperti buku cerita yang mempunyai tema yang menarik. 

Whole Language (Keseluruhan Bahasa)

Pendekatan Bahasa Bersepadu Berdasarkan Falsafah Bahasa Keseluruhan
Pendekatan yang digunakan adalah falsafah bahasa menyeluruh bagi mengajar membaca dan perkembangan bahasa untuk pelajar-pelajar daripada pelbagai budaya. Ciri utama pendekatan ini mencerminkan teori utama yang menekankan pemerolehan bahasa kedua dan membina kekuatan linguistik pelajar. Tujuan pengajaran bersepadu adalah membina dan meningkatkan pengetahuan asas pelajar. Pendekatan ini turut menggabungkan bahasa dengan aspek lain pengajaran bahasa seperti pengajaran bidang isi kandungan dalam sains sosial atau sains tulen. Cara pendekatan ini adalah pelajar melakukan pembacaan bagi keseronokan dan mendapatkan maklumat. Guru hanya membantu pelajar yang memerlukan bantun pada masa tertentu tetapi bimbingan guru difokuskan ke arah menyelesaikan masalah.
Selain itu, pelajar berkongsi dengan rakannya dan mngaitkan kebolehan membaca dengan pencapaian lisan ataupun tulisan yang enjadi matlamat utama pengajaran bahasa yang menyeluruh. Dalam pada itu, bahan bacaan yang bersifat dapat diramal sesuai bagi membina bahasa pelajar.

Pendekatan Binaan 
Pendekatan ini juga dikenali sebagai pendekatan sintesis. Pengajaran bacaan bagi pendekatan ini dimulakan dengan memperkenalkan unsur-unsur yang terkecil terlebih dahulu kemudian diikuti dengan unsur yang lebih besar. Murid-murid diperkenalkan dengan huruf-huruf terlebih dahulu kemudian diikuti dengan suku kata, perkataan, rangkai kata, ayat dan cerita. Kaedah yang sesuai dengan kaedah ini ialah kaedah abjad.

Pendekatan Cerakinan

 Pendekatan ini turut dikenali sebagai pendekatan analisis. Pendekatan pengajaran ini adalah mendahulukan unsur yang besar kemudian unsur itu dicerakinkan kepada unsur-unsur yang kecil yang membentuk struktur yang besar. Pengajaran bacaan ini dimulakan dengan memperkenalkan ayat kepada murid kemudian ayat itu dicerakinkan kepada perkataan-perkataan dan daripada perkataan dipecahkan pula kepada suku kata dan seterusnya huruf-huruf. Kaedah yang bersesuaian dengan pendekatan ini ialah kaedah pandang dan sebut. Hal ini demikian kerana di dalamnya terangkum kaedah seluruh perkataan, kaedah rangkai kata, kaedah ayat dan kaedah cerita.

Pendekatan Elektif
Pendekatan ini juga dikenali sebagai pendekatan campuran. Pendekatan ini menggabungkan kedua-dua pendekatan iaitu pendekataan binaan dan pendekatan cerakinan. Pendekatan ini mengambil ciri-ciri yang terbaik daripada kedua-duanya disesuaikan dengan keadaan murid-murid, situasi bilik darjah dan bahan pengajaran. Pendekatan ini harus dijalankan dengan sistematik dan dirancang dengan sebaik mungkin. Selain itu, ia mestilah dipertimbangkan dengan semasak-masaknya akan sifat ejaan bahasa Malaysia yang fonemik, struktur suku kata, tatabahasa, sistem sebutan dan sebagainya.






Belajar Membaca
Belajar membaca merupakan asas penting dalam penguasaan kognitif dan persekitaran sosial manusia (Yahya, 2004). Kaedah fonik merupakan salah satu kaedah mengajar asas membaca yang sesuai diaplikasikan pada peringkat prasekolah. Kaedah ini menekankan teknik asosiasi yang mengaitkan satu aksi yang dilakonkan sambil membunyikan bunyi yang relevan dengan bunyi yang hendak diajar. Teknik ini dapat meningkatkan daya ingatan, penglihatan dan pendengaran di samping menjadikan sesi pembelajaran lebih menyeronokkan (Othman dan Nik Eliani, 2009). 

Tahap Awal Membaca
Proses awal yang berlaku ketika seseorang itu ingin membaca adalah memproses maklumat. Untuk memproses maklumat visual akan memakan masa dan had masa yang diperlukan bergantung kepada berapa banyak maklumat yang diperlukan. Apabila kita membaca, mata kita akan bergerak dengan cara melompat-lompat iaitu dikenali sebagai ginjatan (saccades). Antara ginjatan terdapat satu tempoh yang dikenali sebagai penetapan (fixation). Pada zaman yang serba moden ini, terdapat satu peralatan yang dinamakan ‘eye tracker’ bagi merakamkan apa yang berlaku ketika seseorang itu sedang membaca. Semasa ginjatan, tiada maklumat yang dirakam. Tempoh penetapan sesuatu perkataan bergantung kepada tiga faktor iaitu kesan kepanjangan, kesan kekerapan dan kesan konteks.



Kesan Kepanjangan.
Panjang pendek sesuatu perkataan dapat memberi kesan kepada pembacaan seseorang. Perkataan yang pendek lebih mudah dibaca berbanding perkataan yang panjang. Misalnya kata ‘awan’ lebih mudah dibaca berbanding kata ‘transmigrasi’. 

Kesan Kekerapan
Kekerapan sesuatu perkataan juga menjadi faktor penyumbang kepada mudah
atau sukar sesbuah pembacaan. Perkataan yang kerap ditemui dan digunakan lebih mudah dibaca berbanding perkataan yang jarang digunakan. Contohnya perkataan ‘tempurung’ berbanding perkataan ‘lembayung’.

Kesan Konteks.
Konteks yang pelbagai turut mempengaruhi kebolehbacaan seseorang. Perkataan yang wujud berbeza-beza mengikut konteks misalnya perkataan ‘komposit’ yang seringkali digunakan dalam konteks ekonomi. Selain itu, perkataan ‘kalkulus’ yang digunakan dalam konteks matematik.

Pemilihan Bahan Bacaan Mengikut Umur


a) Umur 0-6 Tahun (Peringkat Prasekolah) 
Kanak-kanak pada peringkat umur ini belum lagi mempunyai fikiran yang kritis untuk memahami sebab dan akibat atau cara dan tujuan. Buku-buku untuk peringkat umur ini harus mengandungi teks yang pendek supaya kanak-kanak dapat memahami bahan bacaan dengan mudah.
b) Umur 6-8 Tahun
Kanak-kanak pada umur ini mempunyai sifat ingin tahu dan sudah mengerti serba sedikit tentang sesuatu perkara yang dibicarakan oleh orang dewasa. Pada peringkat ini, mereka sudah boleh membaca buku yang mengandungi teks yang banyak. Buku-buku bergambar juga masih sesuai untuk mereka kerana boleh memberi gambaran kepada teks. Mereka juga berminat dalam hal-hal yang berkaitan dengan binatang dan alam semula jadi.
c) Umur 8-10 Tahun
Pada peringkat ini, kanak-kanak mempunyai daya imaginasi yang semakin berkembang dan mereka seronok dengannya. Oleh itu, untuk membantu kanak-kanak memenuhi keperluannya ketika berimaginasi, bahan bacaan yang mengandungi cerita-cerita yang sesuai digunakan untuk mereka.
d) Umur 10-12 Tahun
Pada peringkat ini, mereka telah mempunyai sikap kritis terhadap unsur-unsur kenyataan dan bersedia untuk menerima pengetahuan baharu. Perkembangan tatabahasanya juga berkembang dan mempunyai kebolehan dalam mengungkapkan idea-idea yang abstrak. Mereka sudah mampu mengikuti arahan-arahan yang terdapat dalam buku mereka. Bahan bacaan yang sesuai kepada mereka ialah buku yang berhubung dengan seni dan kerja tangan mampu menarik minat mereka.


Masalah Membaca

Masalah membaca di kalangan murid sekolah bukanlah perkara luar biasa lagi walaupun mereka telah mengikuti pembelajaran bacaan terutamanya dalam pelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu. Kemahiran membaca adalah merentas semua mata pealajaran dan kelemahan dalam kemahiran membaca akan menyebabkan pencapaian rendah dalam pelajaran di sekolah.


Jenis Masalah Bacaan 

a)    Membuang/meninggalkan (omission)
Bunyi huruf, perkataan, dan imbuhan ditinggalkan ketika membaca, misalnya ”buah” disebut ’uah”, ”kering” disebut ”kerin”. Perkataan dalam ayat juga kerap ditinggalkan semasa membaca.


b)    Ulangan (repetition)
Mengulang-ulang perkataan atau suku kata semasa membaca dan perbuatan mengulang ini bukan disebabkan gagap.




c) Gantian (subtitute) 
Menggantikan huruf atau perkataan dalam ayat yang dibaca, misalnya "ladang" disebut "lalang"


d) Tambahan (insertion)
Bunyi huruf atau perkataan ditambah semasa membaca misalnya "buah" disebut "buwah" . Manakala penambahan berlaku seperti berikut:

 “Saya suka makan rojak.” dibaca sebagai  
“Saya sangat suka makan rojak.”


e) Pembalikan (reversals)
Huruf, perkataan, atau frasa dibaca secara terbalik atau songsang.
 

Contoh ;
”Bala” disebut ”laba”, manakala pembalikan perkataan dalam ayat berlaku apabila perkataan diubah kedudukannya, contoh: ”Dia makan nasi” dibaca sebagai ” Dia nasi makan”



f) Tidak kenal  huruf
Sering berlaku terutama kepada kanak-kanak yang baru belajar mengeja. Hal ini menyebabkan kebanyakan kanak-kanak hanya meneka huruf yang mereka lihat.

g) Salah sebutan
Salah sebutan terjadi apabila kanak-kanak tidak mengenal huruf atau tidak tahu membunyikan sesuatu huruf. 



TEORI MEMBACA


Paparan kali ini kami akan menerangkan mengenai teori proses mebaca.
Sepertimana yang kita tahu, membaca merupakan satu proses memperoleh tafsiran yang bermakna.  Kita selalunya melakukan proses membaca untuk mendapatkan ilmu pengetahuan, berkongsi maklumat, untuk perhubungan dan lain-lain lagi.

Walaupun manusia telah mula menguasai kemahiran membaca kira-kira lima abad yang lalu, namun tidak banyak yang diketahui tentang proses membaca ini sehinggalah kira-kira tiga suku abad abad yang lalu. Terdapat pelbagai teori yang telah ditemui pada sekitar awal abad yang ke-20, khususnya dalam bidang pendidikan yang berkaitan membaca dan proses menguasai maklumat.




Teori Ahli Sains Kognitif

Sains kognitif merupakan satu kajian saintifik yang bermatlamat untuk memahami sifat semula jadi fikiran manusia. Ia merangkumi pelbagai bidang termasuk kecerdasan buatan, linguistik, antropologi, psikologi, neurosains', falsafah, dan pendidikan. Semua  bidang ini digabungkan bagi memahami bagaimana manusia memperoleh kecerdikan menerusi fungsi otak.

          Klik untuk paparan penuh



                  Klik untuk paparan penuh




Model  Membaca

Model teori membaca lahir dari perspekif bagaimana sesuatu makna atau idea yang ingin disampaikan penulis dapat di fahami dari sesuatu bahan bacaan.
Beberapa model boleh digunakan bagi pengajaran membaca di sekolah menengah. Model tersebut telah digunakan dalam pelbagai penyelidikan yang telah dijalankan bagi melihat keberkesanan pengajaran membaca dalam kalangan murid sekolah dan pendidikan awal kanak-kanak .



1. Model Top-down (Atas ke bawah)



Klik untuk paparan penuh


2.    Model Bottom-up (Bawah ke atas)



Klik untuk paparan penuh



3. Model Interaktif





Sila klik untuk paparan penuh





4.    Model Transactional

Model ini diperkenalkan oleb Bill Huitt (1994).


Sila klik untuk paparan penuh