Holistik
Pendekatan dalam mengajar membaca dari segi holistik
adalah menggabungkan keseluruhan kemahiran berbahasa iaitu mendengar, bertutur
(kecuali mereka yang mempunyai kecacatan kekal pendengaran dan pertuturan),
membaca, menulis dan berfikir. Setiap kemahiran seharusnya diajar secara
serentak dan bukannya terpisah-pisah. Hal ini demikian kerana semua aspek
kemahiran tersebut terbina secara bersepadu dan saling membantu antara satu
sama lain.
Penekanan
terhadap aspek bacaan dilakukan pada peringkat awal persekolahan lagi.
Kanak-kanak diajar huruf A hingga Z dengan cara membaca carta huruf dan kad
imbas. Penekanan bacaan ini tertumpu kepada mengenal huruf semata-mata setelah
itu kanak-kanak akan diajar menyebut huruf-huruf tersebut. Perkembangan
pendidikan juga percaya bahawa kanak-kanak perlu diajar membaca terlebih dahulu
kemudian barulah diajar menulis.
Sekiranya
seseorang murid lambat didedahkan dengan kemahiran membaca dan menulis secara
bersepadu, hal ini akan menyebabkan proses menguasai kedua-dua kemahiran
tersebut akan terbantut.
Kanak-kanak
bukan sahaja dilatih dengan menggunakan carta huruf dan kad imbas semata-mata,
namun kaedah lain perlu dipelbagaikan bagi meningkatkan kemahiran membaca dan
menulis. Mereka seharusnya disuakan dengan pelbagai jenis bahan bacaan yang
diterbitkan dalam bentuk asal seperti buku cerita yang mempunyai tema yang
menarik.
Pendekatan
Bahasa Bersepadu Berdasarkan Falsafah Bahasa Keseluruhan
Pendekatan
yang digunakan adalah falsafah bahasa menyeluruh bagi mengajar membaca dan
perkembangan bahasa untuk pelajar-pelajar daripada pelbagai budaya. Ciri utama
pendekatan ini mencerminkan teori utama yang menekankan pemerolehan bahasa
kedua dan membina kekuatan linguistik pelajar. Tujuan pengajaran bersepadu adalah
membina dan meningkatkan pengetahuan asas pelajar. Pendekatan ini turut
menggabungkan bahasa dengan aspek lain pengajaran bahasa seperti pengajaran
bidang isi kandungan dalam sains sosial atau sains tulen. Cara pendekatan ini
adalah pelajar melakukan pembacaan bagi keseronokan dan mendapatkan maklumat.
Guru hanya membantu pelajar yang memerlukan bantun pada masa tertentu tetapi
bimbingan guru difokuskan ke arah menyelesaikan masalah.
Selain itu, pelajar berkongsi dengan rakannya dan
mngaitkan kebolehan membaca dengan pencapaian lisan ataupun tulisan yang enjadi
matlamat utama pengajaran bahasa yang menyeluruh. Dalam pada itu, bahan bacaan
yang bersifat dapat diramal sesuai bagi membina bahasa pelajar.
Pendekatan Binaan
Pendekatan ini juga
dikenali sebagai pendekatan sintesis. Pengajaran bacaan bagi pendekatan ini
dimulakan dengan memperkenalkan unsur-unsur yang terkecil terlebih dahulu
kemudian diikuti dengan unsur yang lebih besar. Murid-murid diperkenalkan
dengan huruf-huruf terlebih dahulu kemudian diikuti dengan suku kata,
perkataan, rangkai kata, ayat dan cerita. Kaedah yang sesuai dengan kaedah ini
ialah kaedah abjad.
Pendekatan Cerakinan
Pendekatan
ini turut dikenali sebagai pendekatan analisis. Pendekatan pengajaran ini
adalah mendahulukan unsur yang besar kemudian unsur itu dicerakinkan kepada
unsur-unsur yang kecil yang membentuk struktur yang besar. Pengajaran bacaan
ini dimulakan dengan memperkenalkan ayat kepada murid kemudian ayat itu
dicerakinkan kepada perkataan-perkataan dan daripada perkataan dipecahkan pula
kepada suku kata dan seterusnya huruf-huruf. Kaedah yang bersesuaian dengan
pendekatan ini ialah kaedah pandang dan sebut. Hal ini demikian kerana di
dalamnya terangkum kaedah seluruh perkataan, kaedah rangkai kata, kaedah ayat
dan kaedah cerita.
Pendekatan Elektif
Pendekatan
ini juga dikenali sebagai pendekatan campuran. Pendekatan ini menggabungkan
kedua-dua pendekatan iaitu pendekataan binaan dan pendekatan cerakinan.
Pendekatan ini mengambil ciri-ciri yang terbaik daripada kedua-duanya
disesuaikan dengan keadaan murid-murid, situasi bilik darjah dan bahan
pengajaran. Pendekatan ini harus dijalankan dengan sistematik dan dirancang
dengan sebaik mungkin. Selain itu, ia mestilah dipertimbangkan dengan
semasak-masaknya akan sifat ejaan bahasa Malaysia yang fonemik, struktur suku
kata, tatabahasa, sistem sebutan dan sebagainya.